Tamadun awal manusia berkait rapat dengan perkembangan sains di
dunia. Segelintir sejarawan berpandangan bahawa perkembangan sains bermula
daripada tamadun Yunani. Namun terdapat bukti empirikal yang menunjukkan bahawa
permulaan munculnya ilmu sains itu mestilah lebih awal daripada itu. Hal ini
merujuk kepada tinggalan peralatan yang digunakan oleh tamadun awal dunia yang
menunjukkan terdapat perkembangan ilmu dan kebijaksaan di dalam penciptaan alat
bagi memenuhi keperluan kehidupan mereka. Antara tamadun awal yang kita maklum
adalah yang hidup di sekitar sungai Nil, Mesopotamia dan kawasan Indus.
Tidak dinafikan bahawa tamadun-tamadun awal ini telah mempunyai
pelbagai teknologi dan kepakaran yang dikembangkan seperti teknologi
menghasilkan tembikar dan logam. Malah dalam sejarah Islam terdapat kelompok
masyarakat yang telah diilhamkan oleh Allah untuk mencipta sesuatu menggunakan
teknologi dan kaedah sains. Seperti teknologi menghasilkan logam yang diguna
pakai oleh Iskandar Zulkarnain dan juga teknologi dalam pembinaan bahtera besar
nabi Nuh.
Di kota Islam Andalusia, telah
berlaku sebuah perkembangan ilmu yang sangat giat. Kota Cordova menjadi
pusatnya dan aktiviti penterjemahan galak berkembang. Malah, kitab-kitab sains
Islam turut diterjemahkan ke bahasa lain menaikkan nilai ilmu dan sains di
Andalusia ke kedudukan yang tinggi. Antara bidang yang dikuasai oleh para
saintis Islam di era perkembangan ilmu di Andalusia ialah bidang astronomi,
bidang matematik, bidang kimia, bidang perubatan, serta bidang zoologi dan
botani.
Kegemilangan ilmu Islam telah melahirkan ramai cendekiawan terbilang seperti Jabir ibn Hayyan (d. 804), Abbas ibn Firnas (d.887), Muhammad al-Khawarizmi, ibn al-Haytham (d. 1040) dan ibn Nafis (d. 1288). Bahkan cendekiawan Islam terdahululah yang merupakan antara pelopor di dalam perkembangan ilmu sains sebelum dicedok oleh barat dalam proses kolonisasi. Seperti yang berlaku di dalam tamadun Islam Andalusia. Akhirnya menatijahkan monopoli kuasa barat terhadap dunia sains dan teknologi.
Kegemilangan ilmu Islam telah melahirkan ramai cendekiawan terbilang seperti Jabir ibn Hayyan (d. 804), Abbas ibn Firnas (d.887), Muhammad al-Khawarizmi, ibn al-Haytham (d. 1040) dan ibn Nafis (d. 1288). Bahkan cendekiawan Islam terdahululah yang merupakan antara pelopor di dalam perkembangan ilmu sains sebelum dicedok oleh barat dalam proses kolonisasi. Seperti yang berlaku di dalam tamadun Islam Andalusia. Akhirnya menatijahkan monopoli kuasa barat terhadap dunia sains dan teknologi.
Apabila
berlaku proses modeniti di Eropah suatu masa dahulu, telah menyebabkan beberapa
negara Islam yang sedang membangun turut terpengaruh. Termasuklah negara-negara
yang mempunyai majoriti penduduk yang beragama Islam. Kemunculan konsep modeniti
ini banyak dikaitkan dengan kebangkitan di dalam bidang sains moden, yang
didirikan menggunakan beberapa prinsip di dalamnya. Antaranya ialah prinsip rasional, sekular dan objektif yang telah
menyebabkan modeniti ini menjadi suatu konsep yang universal. Modenisasi
melalui alatnya, sains dan teknologi telah berkembang pesat dan mempengaruhi
pelbagai aspek di dalam sesebuah negara terutamanya di dalam aspek pemahaman,
politik dan ekonomi.
Tonggak
kepada era ini adalah sains. Sains dan teknologi digunakan untuk membangunkan
pelbagai sektor dan menyebabkan pemahaman terhadapnya berkembang pesat.
Malangnya, ianya telah menyebabkan masyarakat yang telah moden melalui
perkembangan sains dan teknologi ini berubah dari sudut kefahamannya tentang
peranan agama dan kehidupan dan menjadikannya berbeza daripada sebelumnya.
Ketaksuban terhadap sains ini telah menyebabkan manusia mula meninggalkan
agamanya, misalnya sekularisasi yang berlaku di barat. Sudah tentu ianya
memberikan cabaran yang besar kepada masyarakat Islam yang menjalankan proses
modenisasi.
Seorang
tokoh falsafah dan sejarah sains yang berasal daripada Iran, Seyyed Hossein
Nasr telah mengkritik sains moden yang telah berkembang ini. Beliau mengatakan
bahawa konsep sains moden adalah berbeza daripada konsep al-ilm yang
diajarkan oleh Islam kepada kita melalui para sahabat dan para alim ulama. Yang
mana konsep sains moden ini telah terpisah terus daripada konsep ketuhanan.
Seorang saintis boleh menjadi saintis yang hebat tanpa mendalami dahulu tentang
ilmu ketuhanan. Segala aktiviti saintifik perlu dipisahkan daripada unsur-unsur
keagamaan. Ini kerana, banyak teori agama tidak boleh dibuktikan melalui kaedah
sains malah banyak yang bertentangan dengan agama. Hasilnya, kajian saintifik
yang dilakukan hanya akan ditemui dalam bentuk-bentuk keduniaan semata-mata. Perkara
yang berlaku ini telah menyebabkan akhirnya terlahirlah saintis yang bersifat
neutral di dalam beragama atau dikenali sebagai atheis.
Sains
moden juga telah meminggirkan konsep nilai dan etika yang seharusnya ada dalam
diri setiap manusia. Akibatnya, alam menerima ancaman dan pelbagai krisis
berlaku hasil daripada sumbangan sains moden, seperti pencemaran udara.
Bagi
Nasr, tradisi al-ilm yang diamalkan di dalam tamadun Islam tidak
mempunyai ciri-ciri sekular seperti yang berlaku pada era modenisasi. Bahkan
ianya seharusnya berlandaskan semangat dan keagamaan. Tidak semua perkara yang
berlaku dibuktikan menggunakan akal dan rasional semata-mata. Malah pelbagai
kaedah dan metodologi boleh digunakan dalam usaha bagi mendapatkan ilmu tentang
sesuatu kejadian. Oleh itu, sains tidak seharusnya lari daripada kaedah al-ilm
yang sebenar. Yaitu kaedah yang mempunyai kaitan rapat dengan konsep qudus dan
wahyu.
Tradisi
sains dalam Islam adalah bertujuan untuk memenuhi kehendak rohani sesuatu
masyarakat. Kemudian barulah dituruti kehendak fizikal mereka. Oleh itu, sains
Islam mempunyai tujuan dan matlamat yang lebih tinggi daripada sains moden. Selain
itu, sains Islam juga haruslah meneliti sebab dan akibat di dalam kejadian yang
berlaku dan berkaitan. Supaya tidak ternafi unsur-unsur ketuhanan di dalam
perjalanan alam ini. Para saintis Islam hendaklah mendalami sains moden dengan
bersungguh-sungguh dan menanam keimanan yang tinggi bagi memastikan perkembangan
sains yang berlaku seiring dengan paradigma Islam.
Pengislaman
yang berlaku secara rancak pada akhir abad ke-20 bertujuan untuk membina sebuah
model negara yang moden dan berpaksikan kepada Islam. Usaha ini merupakan
sebuah penolakan terhadap unsur sekularisasi yang telah dibawa oleh modenisasi
barat yang jelas telah memberikan pelbagai kesan negatif terhadap kehidupan
beragama dan tradisi masyarakat Islam.
Namun
demikian, tidaklah nilai yang dibawa oleh modenisasi itu ditolak sepenuhnya
oleh para cendekiawan Islam. Bahkan pengajaran sains moden telah diperhalusi
semula dan usaha pengislaman ilmu sains semakin giat dilakukan.
Justeru
kita dapat melihat kepentingan untuk mendalami ilmu sains dan teknologi
sehinggakan Islam meletakkan kedudukannya sebagai ilmu fardu kifayah, iaitu
ilmu yang wajib dipelajari oleh suatu kelompok masyarakat. Kedudukannya adalah
selepas ilmu fardu ain, yang merupakan ilmu yang wajib dipelajari oleh semua
individu muslim. Kedua-dua ilmu ini sifatnya adalah saling melengkapi. Fardu
ain tidak akan dapat dilaksanakan tanpa adanya fardu kifayah. Dan fardu kifayah
tidak akan bermakna tanpa adanya fardu ain. Contohnya, menunaikan solat
merupakan fardu ke atas setiap individu muslim. Namun begitu, solat tidak akan
dapat dilaksanakan tanpa adanya kain yang ditenun bagi menutup aurat
pelaksananya.
Allah
SWT berfirman di dalam al-Quran:
وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِمَّا خَلَقَ ظِلَالًا وَجَعَلَ لَكُمْ
مِنَ الْجِبَالِ أَكْنَانًا وَجَعَلَ لَكُمْ سَرَابِيلَ تَقِيكُمُ الْحَرَّ
وَسَرَابِيلَ تَقِيكُمْ بَأْسَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُتِمُّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ
لَعَلَّكُمْ تُسْلِمُونَ
“Dan Allah menjadikan bagi kamu
sebahagian dari yang diciptakanNya: benda-benda untuk berteduh, dan Dia
menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang tempat-tempat berlindung;
dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari
panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang.
Demikianlah, Dia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu berserah
diri kepadaNya dan mematuhi perintahNya.” (Surah An-Nahl, Ayat 81)
أَنِ اعْمَلْ سَابِغَاتٍ وَقَدِّرْ فِي السَّرْدِ ۖ وَاعْمَلُوا
صَالِحًا ۖ إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
“(Serta Kami wahyukan kepadanya):
"Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan sempurnakanlah jalinannya
sekadar yang dikehendaki; dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu)
amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan". (Surah Saba', Ayat 11)
Ayat-ayat daripada surah ini membuktikan bahawa teknologi adalah
suatu perkara yang dituntut untuk dipelajari dan ianya memberi manfaat yang
besar dalam membangunkan negara Islam yang maju. Tidak akan mampu kita
melaksanakan Islam dengan sempurna tanpa ada bantuan daripada sains dan
teknologi. Apatah lagi di zaman yang moden dan bertamadun sekarang ini.
Oleh itu, hendaklah kita mengambil langkah untuk
mengintegrasikan antara sains dan Islam iaitu dengan kita seiringkan ilmu fardu
ain dan ilmu fardu kifayah di dalam pendidikan. Pendidikan integratif yang
menggabungkan antara ilmu wahyu dan ilmu akal ini semestinya adalah untuk
menjadikan ilmu itu lebih menyeluruh dan merangkumi pelbagai aspek. Justeru,
kita akan dapat memupuk penghayatan ilmu, iman dan amal secara berterusan di
samping dapat menyemai nilai-nilai murni dalam diri individu.
Hasil daripada pengintegrasian ilmu ini akan melahirkan insan
yang salih yang meletakkan Allah sebagai matlamat utama tanpa melupakan tujuan
utama kehidupan sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi. Insan yang akan
dilahirkan ini juga mempunyai nilai sangat besar dari segi kefahaman tentang
dunia dan cara mengendalikannya.
Pendidikan integratif telah menjadi suatu keperluan dalam
mempersiapkan generasi muda yang seimbang dari segi akal, rohani dan jasmani.
Hal ini bertentangan dengan sistem pendidikan yang bersifat dualistik. Iaitu
sebuah kurikulum yang mengasingkan antara pengajaran kerohanian dan pendidikan
keagamaan daripada pembelajaan yang melibatkan disiplin akal yang lain, seperti
sains dan matematik. Konsep dualisme ini akan memberi kesan terhadap generasi
yang lahir daripadanya dan akan muncul dua sifat kelompok masyarakat. Yang
pertama, kelompok yang terlalu memberi penekanan terhadap akademik dan
perkembangan ilmu tanpa menghiraukan tentang aspek keagamaan. Manakala kelompok
yang kedua adalah masyarakat yang mempunyai nilai Islam yang tinggi, namun
tidak mampu untuk bersaing seiring perkembangan ilmu dari segi disiplin akliah.
RUJUKAN
- Mohd Roslan M Nor. “Kewujudan Sains Dan Teknologi Di Andalusia”
- Mohd Zuhdi M, 2012. “Sumbangan Saintis Islam Dalam Kegemilangan Tamadun Islam”.
- Maisarah, H., 2012. “Respons Pemikir Islam Terhadap Modeniti: Wacana Sains Islam sebagai Kajian Kes di Malaysia”. Tesis PhD tidak diterbitkan, Universiti Malaya.
- Maisarah H,2013. “Respons Pemikir Dunia Melayu Terhadap Modeniti Melalui Wacana Sains Islam”.
- Zuraidah O, 2014. “Pendidikan Integratif Dalam Islam: Kesepaduan Iman, Ilmu Dan Amal”.