THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES
Photobucket

Sunday, November 25, 2018

Pengintegrasian Ilmu Sains & Islam Mengembalikan Kegemilangan Silam




Tamadun awal manusia berkait rapat dengan perkembangan sains di dunia. Segelintir sejarawan berpandangan bahawa perkembangan sains bermula daripada tamadun Yunani. Namun terdapat bukti empirikal yang menunjukkan bahawa permulaan munculnya ilmu sains itu mestilah lebih awal daripada itu. Hal ini merujuk kepada tinggalan peralatan yang digunakan oleh tamadun awal dunia yang menunjukkan terdapat perkembangan ilmu dan kebijaksaan di dalam penciptaan alat bagi memenuhi keperluan kehidupan mereka. Antara tamadun awal yang kita maklum adalah yang hidup di sekitar sungai Nil, Mesopotamia dan kawasan Indus.

Tidak dinafikan bahawa tamadun-tamadun awal ini telah mempunyai pelbagai teknologi dan kepakaran yang dikembangkan seperti teknologi menghasilkan tembikar dan logam. Malah dalam sejarah Islam terdapat kelompok masyarakat yang telah diilhamkan oleh Allah untuk mencipta sesuatu menggunakan teknologi dan kaedah sains. Seperti teknologi menghasilkan logam yang diguna pakai oleh Iskandar Zulkarnain dan juga teknologi dalam pembinaan bahtera besar nabi Nuh.

Di kota Islam Andalusia,  telah berlaku sebuah perkembangan ilmu yang sangat giat. Kota Cordova menjadi pusatnya dan aktiviti penterjemahan galak berkembang. Malah, kitab-kitab sains Islam turut diterjemahkan ke bahasa lain menaikkan nilai ilmu dan sains di Andalusia ke kedudukan yang tinggi. Antara bidang yang dikuasai oleh para saintis Islam di era perkembangan ilmu di Andalusia ialah bidang astronomi, bidang matematik, bidang kimia, bidang perubatan, serta bidang zoologi dan botani.

Kegemilangan ilmu Islam telah melahirkan ramai cendekiawan terbilang seperti Jabir ibn Hayyan (d. 804), Abbas ibn Firnas (d.887), Muhammad al-Khawarizmi, ibn al-Haytham (d. 1040) dan ibn Nafis (d. 1288). Bahkan cendekiawan Islam terdahululah yang merupakan antara pelopor di dalam perkembangan ilmu sains sebelum dicedok oleh barat dalam proses kolonisasi. Seperti yang berlaku di dalam tamadun Islam Andalusia. Akhirnya menatijahkan monopoli kuasa barat terhadap dunia sains dan teknologi.

 Apabila berlaku proses modeniti di Eropah suatu masa dahulu, telah menyebabkan beberapa negara Islam yang sedang membangun turut terpengaruh. Termasuklah negara-negara yang mempunyai majoriti penduduk yang beragama Islam. Kemunculan konsep modeniti ini banyak dikaitkan dengan kebangkitan di dalam bidang sains moden, yang didirikan menggunakan beberapa prinsip di dalamnya. Antaranya ialah prinsip  rasional, sekular dan objektif yang telah menyebabkan modeniti ini menjadi suatu konsep yang universal. Modenisasi melalui alatnya, sains dan teknologi telah berkembang pesat dan mempengaruhi pelbagai aspek di dalam sesebuah negara terutamanya di dalam aspek pemahaman, politik dan ekonomi.

Tonggak kepada era ini adalah sains. Sains dan teknologi digunakan untuk membangunkan pelbagai sektor dan menyebabkan pemahaman terhadapnya berkembang pesat. Malangnya, ianya telah menyebabkan masyarakat yang telah moden melalui perkembangan sains dan teknologi ini berubah dari sudut kefahamannya tentang peranan agama dan kehidupan dan menjadikannya berbeza daripada sebelumnya. Ketaksuban terhadap sains ini telah menyebabkan manusia mula meninggalkan agamanya, misalnya sekularisasi yang berlaku di barat. Sudah tentu ianya memberikan cabaran yang besar kepada masyarakat Islam yang menjalankan proses modenisasi.

Seorang tokoh falsafah dan sejarah sains yang berasal daripada Iran, Seyyed Hossein Nasr telah mengkritik sains moden yang telah berkembang ini. Beliau mengatakan bahawa konsep sains moden adalah berbeza daripada konsep al-ilm yang diajarkan oleh Islam kepada kita melalui para sahabat dan para alim ulama. Yang mana konsep sains moden ini telah terpisah terus daripada konsep ketuhanan. Seorang saintis boleh menjadi saintis yang hebat tanpa mendalami dahulu tentang ilmu ketuhanan. Segala aktiviti saintifik perlu dipisahkan daripada unsur-unsur keagamaan. Ini kerana, banyak teori agama tidak boleh dibuktikan melalui kaedah sains malah banyak yang bertentangan dengan agama. Hasilnya, kajian saintifik yang dilakukan hanya akan ditemui dalam bentuk-bentuk keduniaan semata-mata. Perkara yang berlaku ini telah menyebabkan akhirnya terlahirlah saintis yang bersifat neutral di dalam beragama atau dikenali sebagai atheis.

Sains moden juga telah meminggirkan konsep nilai dan etika yang seharusnya ada dalam diri setiap manusia. Akibatnya, alam menerima ancaman dan pelbagai krisis berlaku hasil daripada sumbangan sains moden, seperti pencemaran udara.

Bagi Nasr, tradisi al-ilm yang diamalkan di dalam tamadun Islam tidak mempunyai ciri-ciri sekular seperti yang berlaku pada era modenisasi. Bahkan ianya seharusnya berlandaskan semangat dan keagamaan. Tidak semua perkara yang berlaku dibuktikan menggunakan akal dan rasional semata-mata. Malah pelbagai kaedah dan metodologi boleh digunakan dalam usaha bagi mendapatkan ilmu tentang sesuatu kejadian. Oleh itu, sains tidak seharusnya lari daripada kaedah al-ilm yang sebenar. Yaitu kaedah yang mempunyai kaitan rapat dengan konsep qudus dan wahyu.

    Tradisi sains dalam Islam adalah bertujuan untuk memenuhi kehendak rohani sesuatu masyarakat. Kemudian barulah dituruti kehendak fizikal mereka. Oleh itu, sains Islam mempunyai tujuan dan matlamat yang lebih tinggi daripada sains moden. Selain itu, sains Islam juga haruslah meneliti sebab dan akibat di dalam kejadian yang berlaku dan berkaitan. Supaya tidak ternafi unsur-unsur ketuhanan di dalam perjalanan alam ini. Para saintis Islam hendaklah mendalami sains moden dengan bersungguh-sungguh dan menanam keimanan yang tinggi bagi memastikan perkembangan sains yang berlaku seiring dengan paradigma Islam.
           
            Pengislaman yang berlaku secara rancak pada akhir abad ke-20 bertujuan untuk membina sebuah model negara yang moden dan berpaksikan kepada Islam. Usaha ini merupakan sebuah penolakan terhadap unsur sekularisasi yang telah dibawa oleh modenisasi barat yang jelas telah memberikan pelbagai kesan negatif terhadap kehidupan beragama dan tradisi masyarakat Islam.

            Namun demikian, tidaklah nilai yang dibawa oleh modenisasi itu ditolak sepenuhnya oleh para cendekiawan Islam. Bahkan pengajaran sains moden telah diperhalusi semula dan usaha pengislaman ilmu sains semakin giat dilakukan.

 Justeru kita dapat melihat kepentingan untuk mendalami ilmu sains dan teknologi sehinggakan Islam meletakkan kedudukannya sebagai ilmu fardu kifayah, iaitu ilmu yang wajib dipelajari oleh suatu kelompok masyarakat. Kedudukannya adalah selepas ilmu fardu ain, yang merupakan ilmu yang wajib dipelajari oleh semua individu muslim. Kedua-dua ilmu ini sifatnya adalah saling melengkapi. Fardu ain tidak akan dapat dilaksanakan tanpa adanya fardu kifayah. Dan fardu kifayah tidak akan bermakna tanpa adanya fardu ain. Contohnya, menunaikan solat merupakan fardu ke atas setiap individu muslim. Namun begitu, solat tidak akan dapat dilaksanakan tanpa adanya kain yang ditenun bagi menutup aurat pelaksananya.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِمَّا خَلَقَ ظِلَالًا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنَ الْجِبَالِ أَكْنَانًا وَجَعَلَ لَكُمْ سَرَابِيلَ تَقِيكُمُ الْحَرَّ وَسَرَابِيلَ تَقِيكُمْ بَأْسَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُتِمُّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تُسْلِمُونَ
“Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari yang diciptakanNya: benda-benda untuk berteduh, dan Dia menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang tempat-tempat berlindung; dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, Dia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepadaNya dan mematuhi perintahNya.” (Surah An-Nahl, Ayat 81)

أَنِ اعْمَلْ سَابِغَاتٍ وَقَدِّرْ فِي السَّرْدِ ۖ وَاعْمَلُوا صَالِحًا ۖ إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
“(Serta Kami wahyukan kepadanya): "Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki; dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan". (Surah Saba', Ayat 11)

Ayat-ayat daripada surah ini membuktikan bahawa teknologi adalah suatu perkara yang dituntut untuk dipelajari dan ianya memberi manfaat yang besar dalam membangunkan negara Islam yang maju. Tidak akan mampu kita melaksanakan Islam dengan sempurna tanpa ada bantuan daripada sains dan teknologi. Apatah lagi di zaman yang moden dan bertamadun sekarang ini.

Oleh itu, hendaklah kita mengambil langkah untuk mengintegrasikan antara sains dan Islam iaitu dengan kita seiringkan ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah di dalam pendidikan. Pendidikan integratif yang menggabungkan antara ilmu wahyu dan ilmu akal ini semestinya adalah untuk menjadikan ilmu itu lebih menyeluruh dan merangkumi pelbagai aspek. Justeru, kita akan dapat memupuk penghayatan ilmu, iman dan amal secara berterusan di samping dapat menyemai nilai-nilai murni dalam diri individu.

Hasil daripada pengintegrasian ilmu ini akan melahirkan insan yang salih yang meletakkan Allah sebagai matlamat utama tanpa melupakan tujuan utama kehidupan sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi. Insan yang akan dilahirkan ini juga mempunyai nilai sangat besar dari segi kefahaman tentang dunia dan cara mengendalikannya.

Pendidikan integratif telah menjadi suatu keperluan dalam mempersiapkan generasi muda yang seimbang dari segi akal, rohani dan jasmani. Hal ini bertentangan dengan sistem pendidikan yang bersifat dualistik. Iaitu sebuah kurikulum yang mengasingkan antara pengajaran kerohanian dan pendidikan keagamaan daripada pembelajaan yang melibatkan disiplin akal yang lain, seperti sains dan matematik. Konsep dualisme ini akan memberi kesan terhadap generasi yang lahir daripadanya dan akan muncul dua sifat kelompok masyarakat. Yang pertama, kelompok yang terlalu memberi penekanan terhadap akademik dan perkembangan ilmu tanpa menghiraukan tentang aspek keagamaan. Manakala kelompok yang kedua adalah masyarakat yang mempunyai nilai Islam yang tinggi, namun tidak mampu untuk bersaing seiring perkembangan ilmu dari segi  disiplin akliah.



RUJUKAN

  1. Mohd Roslan M Nor. “Kewujudan Sains Dan Teknologi Di Andalusia” 
  2. Mohd Zuhdi M, 2012. “Sumbangan Saintis Islam Dalam Kegemilangan Tamadun Islam”. 
  3. Maisarah, H., 2012. “Respons Pemikir Islam Terhadap Modeniti: Wacana Sains Islam sebagai Kajian Kes di Malaysia”. Tesis PhD tidak diterbitkan, Universiti Malaya. 
  4. Maisarah H,2013. “Respons Pemikir Dunia Melayu Terhadap Modeniti Melalui Wacana Sains Islam”. 
  5. Zuraidah O, 2014. “Pendidikan Integratif Dalam Islam: Kesepaduan Iman, Ilmu Dan Amal”.

0 comments: